Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan
kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada
kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk
metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu
bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap
ibu bapa.

1. MEMBERI NAFKAH. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah
kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan
faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung
perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan
kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan
ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2. MENYEDIAKAN TEMPAT TINGGAL. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat
tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab
anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin
keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. MEMBERI KASIH SAYANG. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang
yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak
pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas
dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak
soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan
dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan
mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).

4. MEMBERI PERHATIAN. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian.
Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi
tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan
memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai,
dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang
membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu
bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan
orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu
bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang
anak.

5. MEMENUHI PERMINTAAN. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk
melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk
kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas
lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding
melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan
perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya
telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??

Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya
lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa
lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

6. MELAKUKAN APA YANG DISUKAI. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya
melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang
tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya.
Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak
terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di
dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat
Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan
ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari
kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka
sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa
hidupnya sebelum mati.

7. BERCAKAP DENGAN LEMAH LEMBUT. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah
bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan
jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak
menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang
tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua,
janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan
janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan
santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara
tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam
diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa.
Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan
keadaan sebenar.

8. MENGHADIAHKAN KEJAYAAN. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak
mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan
agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan,
dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa.
Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9. MELUANGKAN MASA BERSAMA-SAMA. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu
bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa
senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. MENDOAKAN KEBAIKAN IBU BAPA. Anak perlu sentiasa mendoakan
kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu
diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka
terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah
yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan
kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan
kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak
mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti
sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik
mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin
suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum
terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

haa.. inilah mak dan ayah saya .. (^^,)
syg mak ayah ! terima kasih untuk segalanya ... <3
mmmmuuuuuuuaaaahhhhhh !!!!!!!!